PMX, jangan tunggu lagi, bayar hak 40 peratus Sabah

KOTA KINABALU: ADUN Kapayan Chin Tek Ming mendesak kerajaan Persekutuan menyelesaikan hak pemberian khas 40 peratus Sabah bagi 2022 hingga 2025 dengan mendedahkan jumlah hasil, membuat pengiraan dan membayar baki yang sepatutnya diterima negeri itu.

Menurut Chin, Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 tidak seharusnya berakhir dengan janji atau perbincangan teknikal semata-mata.

“Saya mempunyai satu permintaan yang sangat jelas kepada Perdana Menteri: Kerajaan Persekutuan mesti membayar hak 40 peratus Sabah bagi tahun 2022 hingga 2025,” katanya.

Chin berkata isu berkenaan bukan tuntutan politik baharu, sebaliknya membabitkan hak Sabah yang menurutnya termaktub dalam Perlembagaan.

Beliau turut mempersoalkan mengapa jumlah sebenar hasil Persekutuan yang diperoleh dari Sabah bagi tempoh itu masih belum didedahkan.

Katanya, data sebenar perlu diumumkan supaya jumlah 40 peratus boleh dikira berdasarkan maklumat lengkap dan boleh disemak.

“Rakyat Sabah berhak mengetahui berapa jumlah hasil Persekutuan yang dikutip, apakah komponen yang diambil kira dan berapakah jumlah sebenar yang masih terhutang kepada Sabah,” katanya.

Chin turut mengulangi pendiriannya bahawa kerajaan Persekutuan perlu mengambil empat langkah: mendedahkan hasil 2022-2025, mengira 40 peratus, mengenal pasti kekurangan bayaran dan melunaskan jumlah berkenaan.

Beliau berkata, walaupun terdapat proses kehakiman yang sedang berjalan berkaitan isu berasingan, kerajaan masih boleh mengambil langkah pentadbiran dan kewangan tertakluk kepada undang-undang.

Chin turut menggesa kerajaan Sabah supaya tidak sekadar menjadi pemerhati.

“Tuntut angka. Tuntut pengiraan. Tuntut pembayaran,” katanya.

Beliau juga mencadangkan mesyuarat berkaitan MA63 disiarkan secara langsung kepada rakyat.

“MA63 bukan sekadar slogan. MA63 mesti diterjemahkan kepada tindakan dan hasil yang boleh dirasai rakyat Sabah,” katanya.

Berita Berkaitan