Kerajaan setuju tingkat nisbah kerusi Parlimen Sabah, Sarawak

KOTA KINABALU: Kerajaan bersetuju meningkatkan nisbah perwakilan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak melebihi kadar semasa selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu turut melibatkan pindaan Perlembagaan bagi membolehkan peningkatan penyertaan wakil rakyat dari kedua-dua negeri berkenaan.

Menurutnya, kerajaan telah bersetuju secara prinsip mengenai perkara itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu lalu.

“Keputusan kita adalah mesti menambah nisbah Sabah, Sarawak.

“Keputusan ini penting dan telah kita persetujui pada prinsip lebih awal dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.

Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Anwar berkata, penambahan berkenaan bukan sekadar membabitkan jumlah kerusi Parlimen tetapi perlu memastikan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak turut meningkat.

Ketika ditanya sama ada kerajaan menyasarkan 40 peratus kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak, beliau berkata mekanisme serta perinciannya perlu dibincangkan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau berkata, sama ada penambahan itu sempat dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum akan datang masih belum dapat dipastikan kerana perlu melalui proses rundingan dan pindaan Perlembagaan.

Dalam perkembangan sama, Anwar berkata kerajaan turut mahu mempercepat proses Borneonisasi Perkhidmatan Awam Persekutuan di Sabah dan Sarawak seperti diperakui dalam MA63 dan Suruhanjaya Cobbold.

Katanya, fasa pertama pelaksanaan perkara itu telah selesai, manakala fasa kedua akan disegerakan termasuk pelantikan anak Sabah dan Sarawak ke jawatan utama

Berita Berkaitan