20 warga asing dicekup dalam operasi JIM Labuan
LABUAN: Seramai 20 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Labuan dalam operasi penguatkuasaan bersepadu di enam lokasi berasingan di sini.
Pengarah JIM Labuan, Mohd Redzuan Nawi berkata, operasi membabitkan Op Mahir, Op Kutip dan Op Bersepadu itu disertai 41 anggota termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan RELA.
Katanya, seramai 215 individu diperiksa dan 20 daripadanya ditahan.
Mereka terdiri daripada 10 lelaki Indonesia, lima lelaki Filipina, tiga wanita Filipina serta dua kanak-kanak lelaki Filipina.
Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Mereka kini ditahan di IPD Labuan dan Depot Imigresen Labuan untuk siasatan serta tindakan lanjut.
Selain itu, dua notis saman turut dikeluarkan sepanjang operasi bagi membantu siasatan.
JIM Labuan menegaskan tindakan tegas akan terus diambil terhadap pihak yang melanggar undang-undang imigresen, termasuk majikan atau individu yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin.

