Wanita maut disyaki dibunuh anak kandung di Tambunan
KENINGAU: Seorang wanita berusia 56 tahun ditemukan meninggal dunia dengan kecederaan akibat senjata tajam di sebuah rumah sewa di Kampung Katagayan, Tambunan pada petang Khamis.
Ketua Polis Daerah Keningau, Supt Erwansyah Abdul Basir berkata, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira jam 2 petang pada 11 September lalu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan dipercayai akibat senjata tajam.
Susulan kejadian itu, polis mengesan seorang lelaki berusia 31 tahun yang juga anak kandung mangsa.
Suspek kemudiannya berjaya dikesan dan ditahan penduduk kampung di sebuah sulap di Kampung Sukung, Tambunan sebelum dibawa ke Balai Polis Tambunan menggunakan kenderaan mereka.
Setibanya di perkarangan balai polis, tangkapan rasmi dibuat oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah IPD Keningau.
Pasukan penyiasat dan forensik turut menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian serta merampas beberapa barang kes yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif serta kronologi penuh kejadian.
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kes tersebut.

