UMS terima 6,171 pelajar baharu sesi 2026/2027
KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menawarkan tempat kepada 6,171 pelajar baharu bagi program prasiswazah sesi akademik 2026/2027 yang mula mendaftar pada 12 hingga 13 September ini.
Menurut kenyataan UMS, seramai 5,251 pelajar ditempatkan di Kampus Kota Kinabalu, 698 pelajar di Kampus Antarabangsa Labuan dan 222 pelajar di Fakulti Pertanian Lestari Kampus Sandakan.
Daripada jumlah itu, seramai 4,325 pelajar berasal dari Sabah, diikuti Semenanjung Malaysia seramai 1,021 pelajar, Sarawak 529 pelajar dan Wilayah Persekutuan Labuan 81 pelajar.
Selain itu, seramai 215 pelajar antarabangsa dari 12 negara turut menerima tawaran pengajian di UMS.
Negara berkenaan ialah China, Jepun, Korea Selatan, Sweden, Arab Saudi, Yaman, Bangladesh, Pakistan, India, Indonesia, Filipina dan Timor-Leste.
UMS berkata pengambilan sesi kali ini turut merangkumi 3,380 pelajar B40 melalui UPUOnline, 14 pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), lapan Orang Asli dan 15 atlet sukan.
Pendaftaran berlangsung selama dua hari sebelum semua pelajar baharu mengikuti Minggu Suai Mesra (MSM) selama seminggu bermula 14 September sebagai persediaan menyesuaikan diri dengan kehidupan kampus.
Tinjauan pada hari pendaftaran mendapati urusan di kolej kediaman berlangsung dengan baik dan teratur hasil penambahbaikan sistem waktu pendaftaran bagi mengelakkan kesesakan.
Para pelajar turut dibantu sukarelawan Pembimbing Suai Mesra (PSM) sepanjang proses pendaftaran berlangsung.

