UMS salur bantuan kepada mangsa kebakaran Numbak
Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyalurkan bantuan barangan keperluan serta ubat-ubatan kepada mangsa kebakaran di Kampung Numbak, Kota Kinabalu.
Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata sumbangan itu dikumpulkan hasil keprihatinan warga universiti termasuk kakitangan dan pelajar terhadap mangsa yang kehilangan tempat tinggal selepas lebih 200 rumah terjejas.
Menurutnya, pengumpulan sumbangan digerakkan oleh Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) di bawah pimpinan Dekannya, Prof Datuk Dr Ismail Ali.
“Sumbangan ini mencerminkan keprihatinan warga universiti terhadap masyarakat, khususnya mereka yang sedang berhadapan dengan kesukaran,” katanya.
Kasim berkata peranan universiti tidak seharusnya terhad kepada pendidikan dan penyelidikan, tetapi turut merangkumi tanggungjawab sosial kepada masyarakat.
Beliau berkata UMS sebelum ini turut membantu mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan.
Dalam pada itu, ketika menyampaikan bantuan di Masjid Al Hidayah, Kampung Sabang Baru Numbak, Kasim mengingatkan penduduk supaya mengutamakan kebersihan dan kesihatan selepas kejadian berkenaan.
Beliau berkata UMS akan berusaha mendapatkan khidmat doktor serta pegawai perubatan bagi melihat keperluan kesihatan penduduk, khususnya kanak-kanak yang terdedah kepada risiko penyakit.

