STAR susun semula parti 100 hari, Jeffrey tegaskan hak 40 peratus Sabah

RANAU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) melancarkan pelan penyusunan semula parti selama 100 hari termasuk audit dalaman, pengukuhan organisasi dan strategi kerjasama politik menjelang pilihan raya akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, keputusan pilihan raya lalu perlu dijadikan titik tolak untuk parti melakukan penilaian menyeluruh serta memperkemas kekuatan di semua bahagian.

Menurutnya, Jelajah 100 Hari itu diketuai Timbalan Presiden STAR, Datuk Lawrence Gimbang, dengan tumpuan kepada audit organisasi, disiplin parti serta penghapusan puak dalaman.

“STAR perlu bergerak dengan strategi lebih pragmatik, memberi tumpuan kepada kawasan kekuatan dan membina kerjasama politik yang saling menguntungkan,” katanya ketika berucap pada Jelajah Ulang Tahun Ke-10 STAR di Rimbunan Hijau Residence, Kampung Silou, di sini.

Dalam ucapannya, Jeffrey turut menegaskan pendirian STAR bahawa tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari Sabah merupakan hak perlembagaan dan bukan pemberian budi bicara Kerajaan Persekutuan.

Katanya, bayaran interim tahunan tidak seharusnya menggantikan formula 40 peratus secara kekal.

Beliau mendakwa pelaksanaan formula itu berpotensi memberikan hasil jauh lebih besar kepada Sabah dan berkata STAR akan terus menuntut hak berkenaan berdasarkan kerangka Perlembagaan serta MA63.

Jeffrey turut mengulangi pendirian bahawa Sabah dan Sarawak perlu mempunyai sekurang-kurangnya satu pertiga perwakilan di Parlimen.

Menurutnya, kerjasama lebih kukuh antara Sabah dan Sarawak menerusi apa yang disifatkannya sebagai “Borneo Bloc” penting bagi melindungi kepentingan dan autonomi kedua-dua wilayah.

Dalam aspek ekonomi, STAR turut merancang inisiatif melalui rangkaian koperasi dan entiti komersial parti bagi membantu masyarakat tempatan meningkatkan nilai aset tanah serta mewujudkan sumber pendapatan mampan.

Jeffrey berkata perjuangan STAR bukan bertujuan bermusuhan dengan Kerajaan Persekutuan, sebaliknya mempertahankan hak Sabah yang menurutnya telah diperuntukkan sejak pembentukan Malaysia.

“Di bawah semangat ‘Unity is Duty’, kita tidak mencari permusuhan dengan Kerajaan Persekutuan, tetapi kita tidak akan menyerahkan hak perlembagaan atau masa depan ekonomi rakyat Sabah,” katanya.

Berita Berkaitan