Agenda Pembangunan Wanita Perlu Diperluas ke Masyarakat di Luar Ibu Negeri
SANDAKAN : Agenda pembangunan wanita dan kesejahteraan rakyat Sabah perlu diperluaskan ke peringkat daerah dan komuniti, bukan hanya tertumpu di ibu negeri, kata Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Julita Majungki.
Beliau berkata penganjuran Karnival Persona Wanita peringkat Daerah Sandakan menunjukkan kepentingan membawa perkhidmatan, maklumat dan sokongan kerajaan lebih dekat kepada masyarakat.
“Agenda pembangunan wanita dan kesejahteraan rakyat tidak seharusnya tertumpu di ibu negeri, sebaliknya perlu dibawa lebih dekat kepada masyarakat di peringkat daerah,” katanya ketika merasmikan karnival berkenaan di sini semalam.
Julita berkata jabatan dan agensi berkaitan perlu meneruskan usaha turun padang serta memperluaskan akses kepada perkhidmatan di peringkat daerah dan komuniti.
Katanya, usaha itu penting bagi memastikan golongan yang memerlukan perhatian, termasuk wanita luar bandar, ibu tunggal, wanita daripada keluarga berpendapatan rendah, wanita kurang upaya, warga emas dan penjaga, tidak tercicir daripada mendapat sokongan yang diperlukan.
“Setiap golongan mempunyai cabaran dan keperluan yang berbeza. Oleh itu, suara dan maklum balas masyarakat perlu diambil kira dalam menentukan program yang benar-benar diperlukan,” katanya.
Julita berkata Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama antara agensi kebajikan dan kesihatan, pihak berkuasa tempatan, pertubuhan masyarakat serta pemimpin setempat bagi memastikan bantuan dapat disampaikan dengan lebih tersusun dan berkesan.
Beliau turut menggesa pertubuhan wanita dan pemimpin komuniti memainkan peranan aktif dalam mengenal pasti isu di peringkat akar umbi serta menghubungkan mereka yang memerlukan bantuan dengan saluran yang bersesuaian.
“Pertubuhan wanita dan pemimpin komuniti boleh menjadi mata dan telinga kerajaan dengan mengenal pasti isu di lapangan serta menghubungkan mereka yang memerlukan bantuan kepada saluran yang betul,” katanya.
Julita berkata agenda pemerkasaan wanita juga perlu dilihat secara menyeluruh, dengan pemerkasaan ekonomi berjalan seiring dengan aspek pendidikan, kesihatan, keselamatan dan perlindungan.

