Pengguna desak KK Sentral dibaiki, dakwa kotor dan laluan pejalan kaki tak mesra
KOTA KINABALU: Pengguna media sosial menggesa pihak berkuasa menambah baik kemudahan di KK Sentral selepas membangkitkan isu kebersihan, kekurangan tempat duduk dan keadaan laluan pejalan kaki yang disifatkan tidak selesa.
Antara cadangan dikemukakan ialah pemasangan skrin elektronik besar untuk memaparkan masa dan jadual ketibaan serta pelepasan bas.
Seorang pengguna turut mendakwa ruang menurunkan penumpang bagi Grab dan Maxim terlalu sempit.
Sementara itu, satu hantaran lain meminta DBKK memberi perhatian kepada laluan pejalan kaki antara KK Sentral dan Imago Shopping Mall yang dikatakan semakin kerap digunakan susulan sambutan terhadap Bas Pink.
Pengguna mahu laluan itu dinaik taraf dengan kemudahan lebih baik termasuk laluan berbumbung dan pencahayaan yang mencukupi.
Pentadbir halaman Kota Kinabalu City pula memaklumkan cadangan berkaitan papan tanda telah dikemukakan dan berharap bajet untuk tujuan itu diluluskan.
Rungutan itu mencerminkan desakan supaya KK Sentral dinaik taraf menjadi hab pengangkutan yang lebih bersih, teratur dan mesra pengguna.
Setakat ini, belum ada maklum balas rasmi daripada DBKK atau pihak pengurusan KK Sentral mengenai keseluruhan aduan berkenaan.

