Sabah Electricity bayar zakat RM2.18 juta, kutipan MUIS cecah RM27 juta

KOTA KINABALU: Sabah Electricity (SE) menyerahkan RM2.18 juta zakat perniagaan kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bagi agihan tahun 2025.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Isnin Aliasnih berkata, kutipan zakat setakat September mencecah kira-kira RM27 juta, dengan pertambahan RM4 juta direkodkan berbanding tahun sebelumnya.

Beliau menjangkakan kutipan terus meningkat menjelang akhir tahun hasil caruman pembayar zakat individu dan korporat.

Zakat SE disampaikan Pengerusinya, Datuk Saadiah Aziz kepada Isnin dalam majlis di Istana Seri Kinabalu yang disaksikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman.

Isnin berkata sumbangan zakat korporat penting bagi membantu golongan asnaf, selain menyokong usaha kerajaan membasmi kemiskinan.

Beliau turut menggesa GLC, syarikat korporat dan sektor swasta supaya tampil menunaikan zakat perniagaan.

“Selain mendapat keberkatan rezeki, zakat ini juga dapat diagihkan kepada golongan asnaf sekali gus menyokong usaha kerajaan membasmi kemiskinan di Sabah,” katanya.

Berita Berkaitan