Jeffrey gesa bina lapangan terbang baharu atasi isu satu landasan KKIA
KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan menggesa sebuah lapangan terbang antarabangsa baharu dibina bagi mengurangkan kebergantungan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) kepada hanya satu landasan.
Gesaan itu dibuat susulan penutupan sementara landasan KKIA pada 17 September bagi kerja pembaikan yang menjejaskan 20 penerbangan sebelum ia dibuka semula pada jam 11.30 malam selepas pemeriksaan keselamatan selesai.
Menurut Jeffrey, kejadian itu menunjukkan risiko operasi apabila lapangan terbang utama Sabah bergantung kepada satu landasan.
“Kebergantungan berterusan pada satu landasan menimbulkan risiko operasi dan ekonomi besar kepada Sabah. Sabah memerlukan lapangan terbang antarabangsa baharu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kapasiti reka bentuk KKIA sebanyak sembilan juta penumpang setahun sudah dilepasi pada 2019 apabila lapangan terbang itu mengendalikan kira-kira 9.4 juta penumpang.
Jeffrey berkata, rancangan meningkatkan kapasiti terminal kepada 12 juta penumpang setahun sahaja tidak memadai sekiranya isu kebergantungan kepada satu landasan tidak ditangani.
“Menambah kapasiti terminal tanpa menangani kelemahan asas ini tidak memadai. Lebih ramai penumpang dan tambahan penerbangan akan memberi tekanan lebih besar kepada landasan sedia ada,” katanya.
Beliau mencadangkan kawasan Papar-Kimanis dinilai sebagai antara pilihan dalam proses pemilihan tapak lapangan terbang baharu, namun menegaskan lokasi akhir perlu ditentukan menerusi kajian teknikal, alam sekitar, ekonomi dan kebolehcapaian yang menyeluruh.
Dalam pada itu, Jeffrey turut menggesa kerajaan mengkaji kebolehlaksanaan pembinaan landasan kedua di KKIA atau penyelesaian sementara lain sementara menunggu perancangan jangka panjang.
“Kerajaan mesti bertindak sekarang. Sabah tidak mampu menunggu penutupan atau insiden lain yang menyebabkan kerugian ekonomi lebih besar,” katanya.

