Empat lelaki terjun laut, tinggal bot sarat rokok dan petrol
LAHAD DATU: Empat lelaki bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke daratan selepas dua bot dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan dihampiri Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Felda Sahabat, semalam.
Pengarah Maritim Zon Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, kedua-dua bot itu dipintas di selatan Tanjung Sinakut hasil risikan menerusi Op Sejahtera 1/2022 dan Op Tiris 4.0.
Menurutnya, bot pertama dipintas pada jam 8.26 pagi manakala bot kedua pada jam 9.14 pagi.
“Ketika bot ronda menghampiri kedua-dua bot, dua lelaki dewasa dari setiap bot bertindak terjun ke laut sebelum melarikan diri menuju ke daratan,” katanya dalam kenyataan.
Dzulfikhar berkata, pemeriksaan terhadap bot pertama menemukan 24 bekas mengandungi kira-kira 600 liter petrol.
Bot kedua pula membawa kira-kira 40,000 batang rokok tidak bercukai, tujuh tong gas memasak dan 20 bekas bahan api kosong berkapasiti 25 liter setiap satu.
Menurutnya, bot pertama dipercayai digunakan untuk membawa petrol ke negara jiran, manakala bot kedua dipercayai sedang bersiap untuk mendapatkan bekalan bahan api bagi tujuan penyeludupan dan penjualan semula.
Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM65,700.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, manakala kes membabitkan rokok turut disiasat mengikut Akta Kastam 1967.
Bot dan semua barangan rampasan dibawa ke jeti Pos Maritim Felda Sahabat untuk siasatan lanjut.

