Tujuh mangsa kemalangan selepas elak buah sawit bertaburan
SEMPORNA – Tujuh individu terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan selepas dipercayai cuba mengelak buah kelapa sawit yang bertaburan di atas jalan di Simpang Empat Kalumpang, laluan Semporna-Tawau pada Sabtu.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan, kemalangan membabitkan sebuah Isuzu D-Max, Toyota Hilux dan Toyota Avanza.
Menurutnya, maklumat awal mendapati buah kelapa sawit dipercayai terjatuh daripada muatan sebuah lori yang turut dalam perjalanan menuju Tawau.
“Ketiga-tiga kenderaan dipercayai cuba mengelak buah kelapa sawit yang bertaburan sehingga menyebabkan kemalangan,” menurut kenyataan itu.
JBPM menerima panggilan kejadian pada jam 9.52 pagi sebelum lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna digerakkan ke lokasi.
Kejadian melibatkan tiga lelaki dan empat wanita dengan seorang lelaki mengalami kecederaan parah selepas tersepit di dalam kenderaan.
Mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Semporna.
Seorang lagi mangsa dilaporkan mengalami masalah jantung, manakala mangsa lain mengalami kecederaan ringan atau tidak mengalami kecederaan.
Pasukan bomba turut menjalankan kerja pembersihan tumpahan minyak, buah kelapa sawit dan serpihan kaca di atas jalan sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.36 tengah hari.

