Remaja 17 tahun maut motosikal terbabas, langgar penghadang besi

BEAUFORT: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan melanggar penghadang besi di Jalan Kota Klias-Kampung Betandok, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Supt Champin Piuh, berkata kejadian berlaku kira-kira 8.14 malam ketika mangsa dalam perjalanan dari Kampung Betandok ke Kampung Kota Klias.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui jalan berselekoh sebelum motosikal terbabas ke tepi jalan.

“Setibanya di lokasi kejadian yang melalui jalan berselekoh, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum motosikalnya terbabas ke tepi jalan dan melanggar penghadang besi,” katanya.

Mangsa mengalami kecederaan pada muka dan anggota badan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Beaufort.

Champin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Khairul Shazree Hashim di talian 010-2531451 atau hadir ke balai polis berhampiran.

Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati ketika melalui jalan berselekoh dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik.

Berita Berkaitan