Kawalan CIQS Tawau perlu diperketat, elak jadi laluan penyeludupan

TAWAU: Kawalan keselamatan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Lama dan Baharu Tawau perlu terus diperkukuh bagi mengekang risiko jenayah rentas sempadan serta penyeludupan barangan larangan.

Bekas Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Tony Koh Kian Leong berkata, beliau menyokong langkah Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh meninjau sendiri keperluan keselamatan di kedua-dua kompleks berkenaan.

“Saya menyokong seruan Ketua Polis Daerah Tawau supaya aspek keselamatan di CIQS diperketatkan dan pemeriksaan sentiasa dilakukan.

“Sebagai pemimpin yang sentiasa mengikuti perkembangan serta memberikan maklumat berkaitan Majlis Keselamatan Negara (MKN), saya melihat langkah ini sebagai satu tindakan wajar yang perlu diberi perhatian serius,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tony berkata, kedudukan Tawau sebagai kawasan sempadan dan pintu keluar masuk antarabangsa memerlukan tahap kawalan yang cekap dan berterusan.

Menurutnya, terdapat kemungkinan pihak tidak bertanggungjawab mencari laluan alternatif sekiranya kawalan di kawasan lain semakin diperketatkan.

“Pada pandangan saya, apabila kawalan di kawasan seperti Kudat dan Sandakan diperketatkan, pihak yang mahu menyeludup bahan berbahaya atau barangan larangan mungkin cuba mencari laluan lain.

“Tawau juga berpotensi menjadi laluan transit bahan larangan dari Semenanjung ke Indonesia dan kawasan lain. Justeru, kawalan keselamatan perlu sentiasa diperkukuhkan,” katanya.

Tony turut memuji tindakan Rosdi turun padang bagi melihat sendiri keadaan di CIQS Lama dan Baharu, termasuk keperluan penugasan anggota.

“Saya amat menghormati kepekaan dan kecekapan beliau dalam melihat perkara ini dari sudut keselamatan,” katanya.

Berita Berkaitan