KTYS perlu meningkatkan peranan dalam penyediaan pendidikan akademik dan TVET
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mahu Kolej
Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) mempertingkatkan peranan dalam penyediaan
pendidikan akademik dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Sebagai sebuah institusi pendidikan yang mempunyai hubungan rapat dengan agenda
pembangunan modal insan Yayasan Sabah, KTYS perlu terus responsif terhadap
perubahan industri, teknologi dan keperluan tenaga kerja negeri.
“Pasaran kerja hari ini tidak hanya menuntut kecemerlangan akademik semata-mata,
tetapi juga menuntut kemahiran teknikal yang tinggi, pemikiran kritikal, dan keupayaan
adaptasi yang cepat. Di sinilah peranan institusi seperti KTYS menjadi sangat penting,”
katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Konvokesyen KTYS ke-29 di Pusat Konvensyen
Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I/Menteri Kerja Raya dan
Utiliti Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.
Beliau berkata pihak pengurusan dan seluruh warga KTYS perlu terus meningkatkan
mutu program pendidikan dan latihan, dengan sentiasa mengambil kira perkembangan
industri dan keperluan sebenar pasaran pekerjaan.
“Jadikan perkembangan graduan sebagai salah satu ukuran penting keberkesanan
program yang ditawarkan. Pengalaman alumni dalam pekerjaan dan pengajian lanjutan
serta maklum balas pihak industri dan majikan perlu dimanfaatkan untuk menambah
baik program pengajian dari semasa ke semasa,” katanya.
Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata
sebagai ejen perubahan, graduan KTYS pula memainkan peranan yang amat penting
untuk memastikan kemajuan sesebuah negeri berjalan dengan lancar, stabil, dan
memberi impak jangka panjang.
“Pada masa yang sama, pihak industri juga perlu memainkan peranan dengan
menyediakan peluang latihan, bimbingan, pendedahan dan pengalaman kerja kepada
para pelajar,” katanya.
Ketua Menteri mengulangi bahawa dalam Belanjawan Sabah 2026, Kerajaan Negeri
telah memperuntukkan sebanyak RM437.93 juta untuk tujuan memperkasa dan
membangunkan modal insan bukan sahaja dari aspek akademik tetapi juga aspek
spiritual.
“Tahun ini juga menandakan tahun pertama pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah
Maju Jaya 2.0. Komitmen ini perlu diterjemahkan kepada hasil yang dapat dirasai oleh
rakyat.
“Ukuran kejayaannya adalah sejauh mana lebih ramai anak Sabah berpeluang
melanjutkan pengajian, menguasai kemahiran dan memperoleh pekerjaan yang mampu
meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.
Beliau berkata dalam menjayakan matlamat ini, Kumpulan Yayasan Sabah terus
memainkan peranan penting dan telah menyediakan pelbagai bentuk sokongan
pendidikan kepada anak-anak negeri ini, termasuk melalui biasiswa dan pinjaman
pengajian.
“Selain itu Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) menyalurkan RM40 juta bantuan
sejak dilancarkan pada 2 Jun 2022, memberi manfaat secara langsung kepada 27,781
pelajar di seluruh negeri,” katanya.
Hajiji turut menasihati para graduan bahawa konvokesyen bukanlah titik akhir kepada
pendidikan, sebaliknya, ia menandakan permulaan kepada tanggungjawab yang lebih
besar dan membuka lembaran baharu bagi menyumbang kepada masyarakat dan
ekonomi negeri.
“Jagalah nama baik diri, keluarga dan KTYS melalui tindakan serta sumbangan saudara
dan saudari. Jadilah individu yang boleh dipercayai, berintegriti dan bersedia memikul
tanggungjawab apabila berada di luar sana.
“Memasuki alam pekerjaan, gunakanlah segala ilmu yang diperoleh sepanjang berada
di KTYS untuk berinovasi,” katanya.

