PETRONAS perkasa pendidikan, modal insan anak Sabah
KOTA KINABALU: Kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Sabah dan PETRONAS terus diperkukuh bagi membuka lebih banyak peluang pendidikan serta pembangunan kemahiran kepada anak negeri.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, pembangunan modal insan merupakan antara agenda utama negeri dan tidak seharusnya tertumpu kepada pendidikan akademik semata-mata.
Menurutnya, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga penting bagi melahirkan tenaga mahir yang mampu memenuhi keperluan industri.
“Sabah sedang bergerak ke arah ekonomi yang lebih pelbagai dan memerlukan tenaga mahir bukan sahaja dalam sektor minyak dan gas, tetapi juga perkilangan, pembinaan, tenaga, pelancongan, pertanian, teknologi dan ekonomi digital.
“Kita mahu anak-anak Sabah menjadi sebahagian daripada tenaga penggerak ekonomi negeri, bukan sekadar menjadi penonton kepada pembangunan yang berlaku,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Tajaan Pendidikan PETRONAS Memperkasakan Ilmu Sabah 2026.
James berkata kerajaan negeri juga mahu mengubah persepsi bahawa pendidikan kemahiran merupakan pilihan kedua kerana tenaga mahir yang memiliki kompetensi dan pensijilan diiktiraf industri mempunyai nilai tinggi dalam pasaran pekerjaan.
Katanya, kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan dan pihak industri perlu terus diperkasa supaya latihan yang disediakan benar-benar memenuhi keperluan sektor pekerjaan.
Majlis berkenaan menyaksikan lebih 100 pelajar cemerlang lepasan SPM dari Sabah menerima tajaan pendidikan, manakala 25 pelajar sekolah menengah menerima Biasiswa Kecil PETRONAS.

