Serbu sambungan air haram, seorang dicekup empat cabut lari

KOTA KINABALU:: Seorang individu ditahan manakala empat lagi melarikan diri ketika serbuan terhadap kegiatan penyambungan air secara haram di kawasan setinggan Sepanggar, Ahad lalu.

Serbuan pada 5 Oktober itu dilakukan selepas Polis Bantuan Jabatan Air Sabah menerima maklumat orang awam mengenai kegiatan penyambungan bekalan air yang disyaki menyalahi undang-undang.

Susulan maklumat berkenaan, satu pasukan terdiri daripada dua anggota Polis Bantuan Jabatan Air Sabah dan seorang anggota penguat kuasa Jabatan Air digerakkan ke lokasi untuk membuat pemeriksaan.

Ketika serbuan dilakukan, seorang individu berjaya ditahan, namun empat lagi sempat melarikan diri.

Pasukan berkenaan turut merampas satu unit tombak, penyodok, pemotong paip serta beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan untuk membuat penyambungan air secara haram.

Individu yang ditahan kemudian dibawa ke balai polis untuk laporan dibuat sebelum siasatan lanjut dijalankan.

Kes boleh disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (Akta 574), tertakluk kepada hasil siasatan pihak berkuasa.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan penyambungan paip air secara haram diminta menghubungi Jabatan Air Sabah bagi membantu tindakan penguatkuasaan.

Berita Berkaitan