Selepas isu tular, lubang di Tebobon akhirnya ditampal

KOTA KINABALU: Lubang di laluan berhampiran Kampung Tebobon, Jalan Tuaran Bypass yang sebelum ini mendapat perhatian pengguna jalan raya akhirnya menerima tampalan sementara.

Perkembangan itu dikongsikan menerusi satu rakaman di media sosial yang menunjukkan bahagian jalan berkenaan sudah ditampal selepas sebelum ini keadaannya didakwa menyebabkan gangguan aliran trafik dan menimbulkan risiko kepada pengguna.

Sabah News Today (SNT) sebelum ini turut menyiarkan aduan pengguna mengenai lubang berkenaan selepas gambar dan perkongsian mengenainya tular di media sosial.

Rakaman terbaharu memaparkan tampalan pada bahagian jalan yang rosak dengan kenderaan dilihat melalui laluan berkenaan seperti biasa.

Bagaimanapun, berdasarkan keterangan pada rakaman yang dikongsikan, kerja berkenaan dinyatakan sebagai “tampalan sementara”.

Pengguna jalan raya berharap tindakan susulan dapat dilakukan bagi memastikan keadaan jalan di kawasan berkenaan kekal selamat dan kerosakan sama tidak berulang, terutama ketika hujan.

Setakat ini, SNT belum memperoleh kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berkaitan mengenai kerja tampalan berkenaan atau perancangan pembaikan seterusnya.

Berita Berkaitan