Langit Tawau kelihatan berjerebu, perkongsian tular di media sosial

TAWAU: Keadaan langit yang kelihatan kabur dan seakan-akan diselubungi jerebu di sekitar Tawau menarik perhatian pengguna media sosial selepas satu rakaman video dikongsikan menerusi aplikasi Threads, awal pagi ini.

Menerusi perkongsian pengguna Threads dikenali sebagai @guccieyy, keadaan udara di sekitar kawasan bangunan dan tempat letak kenderaan di Tawau dilihat agak kabur, dengan jarak penglihatan ke kawasan lebih jauh kelihatan terhad.

“Awal pagi ini IPU Tawau 156 tidak sihat,” tulis pengguna berkenaan menerusi hantaran tersebut.

Berdasarkan tangkap layar yang dikongsikan, pengguna itu mendakwa bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di Tawau mencecah 156, iaitu dalam kategori tidak sihat.

Bagaimanapun, bacaan IPU berkenaan belum dapat disahkan secara rasmi, manakala punca keadaan udara yang kelihatan kabur itu juga belum dikenal pasti.

Mengikut pengelasan IPU di Malaysia, bacaan antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat.

Orang ramai, khususnya golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan, dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya kualiti udara berada pada tahap tidak sihat.

Penduduk juga disaran mengikuti perkembangan bacaan IPU rasmi melalui Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan kualiti udara di kawasan masing-masing.

Berita Berkaitan