Kanak-kanak 11 tahun maut terkena tembakan βginsokβ di pondok kebun getah
KENINGAU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut selepas dipercayai terkena tembakan senjata api buatan sendiri dikenali sebagai ginsok ketika berada di sebuah pondok kebun getah di Kampung Mampulut, Sook, dekat sini, Sabtu lalu.
Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala sebelum dikejarkan ke Hospital Keningau untuk mendapatkan rawatan kecemasan, namun meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Keningau, Supt Erwansyah Abdul Basir berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan kira-kira pukul 2.35 petang pada 10 Oktober lalu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa bersama seorang lagi kanak-kanak berada di pondok kebun getah tersebut sebelum satu das tembakan berlaku.
βSiasatan awal mendapati kejadian dipercayai membabitkan senjata api buatan sendiri yang dikenali sebagai ginsok.
βMangsa dibawa ke Hospital Keningau untuk mendapatkan rawatan kecemasan, namun disahkan meninggal dunia,β katanya dalam kenyataan hari ini.
Erwansyah berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, semalam mengesahkan punca kematian mangsa akibat kecederaan tembakan pada bahagian kepala.
Katanya, polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti bagaimana senjata api berkenaan diperoleh, disimpan dan dikendalikan sehingga menyebabkan kejadian tersebut.
βSiasatan forensik dan balistik turut diberikan perhatian bagi menentukan mekanisme tembakan serta kaitan senjata yang disyaki dengan kecederaan mangsa.
βPolis juga sedang meneliti aspek pemilikan senjata api tanpa lesen serta kemungkinan berlaku pengabaian yang mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya,β katanya.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 berkaitan pengabaian atau pendedahan kanak-kanak kepada kecederaan.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 berhubung pemilikan, jagaan atau kawalan senjata api tanpa lesen atau permit sah.
Erwansyah menegaskan, sebarang tindakan undang-undang akan diambil berdasarkan bukti yang diperoleh serta peruntukan undang-undang berkaitan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak memiliki senjata api tanpa kebenaran sah, manakala pemilik senjata api berlesen perlu memastikan senjata disimpan di tempat selamat dan berkunci.
βOrang ramai juga diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis,β katanya.

