Lelaki 20 tahun maut, enam cedera nahas Hilux dan Kancil di Pitas

PITAS: Seorang lelaki berusia 20 tahun maut, manakala enam lagi cedera selepas dua kenderaan dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Kasagaan, di sini, pagi semalam.

Kemalangan membabitkan Toyota Hilux dan Perodua Kancil itu turut menyebabkan empat mangsa cedera parah, seorang separa kritikal dan seorang lagi cedera ringan.

Mangsa yang maut adalah penumpang Toyota Hilux dan disahkan meninggal dunia ketika berada di hospital.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.31 pagi sebelum tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas dikejarkan ke lokasi.

Pasukan bomba tiba pada jam 8.57 pagi selepas menempuh perjalanan sejauh 21 kilometer.

“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan membabitkan Toyota Hilux yang dinaiki lima lelaki dan Perodua Kancil dinaiki dua lelaki.

“Seorang lelaki berusia 20 tahun yang menaiki Hilux disahkan meninggal dunia di hospital, manakala tiga lagi cedera parah dan seorang cedera ringan,” menurut laporan itu.

Sementara itu, dua lelaki yang menaiki Perodua Kancil masing-masing berusia 22 dan 41 tahun dilaporkan cedera parah serta separa kritikal.

Pasukan bomba terpaksa menggunakan peralatan khas menyelamat mangsa kemalangan jalan raya (RTA) bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan.

Kesemua mangsa kemudian diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk tindakan lanjut.

Operasi diketuai PBK I Mohd Nor Azmer Mat Shor Nasi dengan bantuan polis, APM dan KKM.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 10.05 pagi selepas pemeriksaan keselamatan dilakukan di lokasi kejadian.

Punca kemalangan belum diketahui.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan