Dua maut, kontena terbalik hempap Avanza di Sepanggar

KOTA KINABALU: Dua individu maut selepas kereta Toyota Avanza dinaiki mereka dihempap sebuah lori treler bersama kontena yang terbalik di Jalan Pelabuhan Sepanggar Bay, di sini, petang Ahad.

Dalam kejadian itu, pemandu lelaki berusia 53 tahun dan penumpang wanita berusia 24 tahun tersepit di dalam kenderaan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi.

Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, kejadian dipercayai berlaku ketika lori treler terbabit sedang menjalankan kerja mengangkat sebuah kontena dari tepi jalan utama ke atas treler.

Bagaimanapun, berdasarkan keterangan saksi, berlaku ketidakseimbangan ketika proses berkenaan sehingga menyebabkan lori bersama kontena terbalik lalu menghempap Toyota Avanza yang sedang melalui jalan itu.

Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.31 petang sebelum 26 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dikejarkan ke lokasi.

Pasukan bomba tiba pada jam 7.01 malam dan memulakan operasi menyelamat empat minit kemudian.

“Dua mangsa didapati tersepit di dalam Toyota Avanza yang dihempap kontena.

“Bagaimanapun, operasi menyelamat memerlukan bantuan kren bagi mengangkat kontena sebelum mangsa dapat dikeluarkan,” menurut laporan itu.

Dua kren tiba pada jam 9.21 malam bagi membantu mengangkat kontena berkenaan.

Selepas kontena dialihkan, anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit.

Bagaimanapun, kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Operasi diketuai PBK I Christy Foo dan PBK I Mohd Zulfadli Usman dengan bantuan 17 anggota polis serta petugas KKM.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.30 malam selepas kawasan kejadian dipastikan selamat.

Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan