200 ahli Warisan Kudat keluar parti? Cerita lama dikitar semula – Harun

KUDAT: Dakwaan kononnya 200 ahli Warisan Kudat meninggalkan parti untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sempena Konvensyen GRS di Kudat, Ahad lalu, disifatkan tidak benar dan mengelirukan.

Ketua Warisan Bahagian Kudat, Datuk Harun Ismail berkata, individu yang dikaitkan dengan dakwaan itu sebenarnya sudah meninggalkan parti sejak Jun lalu.

Katanya, tindakan menggambarkan perkara berkenaan sebagai pengunduran baharu hanya menimbulkan persepsi salah terhadap kedudukan Warisan di Kudat.

“Individu yang dikaitkan dengan dakwaan tersebut sudah keluar lebih awal, iaitu pada Jun 2026.

“Oleh itu, tindakan menggambarkan perkara tersebut sebagai pengunduran baharu adalah mengelirukan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Harun berkata, ketika individu terbabit meninggalkan parti, Warisan Bahagian Kudat masih berstatus penaja.

Menurutnya, tindakan mereka tidak memberi kesan terhadap perjalanan dan kedudukan organisasi parti di kawasan Parlimen berkenaan.

“Warisan Kudat terus berjalan seperti biasa sebagai bahagian yang sah. Gerak kerja kepimpinan dan usaha mendekati rakyat tetap diteruskan,” katanya.

Beliau berkata, Warisan menghormati hak setiap individu menentukan pilihan politik masing-masing, namun masyarakat perlu diberikan gambaran sebenar mengenai sesuatu perkembangan.

Katanya, keluar masuk parti adalah perkara biasa dalam politik, tetapi kesetiaan dan prinsip menjadi ukuran sebenar kepimpinan.

“Pemimpin datang dan pergi, tetapi kepimpinan sebenar diukur melalui kesetiaan, keteguhan prinsip dan kesediaan untuk berdiri bersama parti ketika parti memerlukan mereka,” katanya.

Harun menegaskan Warisan Kudat kekal utuh dan akan terus memperkukuh jentera parti serta memperjuangkan kepentingan rakyat.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan