Banjir lebih 100 kali, penduduk Kampung Rampayan hilang sabar

KOTA KINABALU: “Bila rakyat bersuara, jangan salahkan!”

Itu luahan seorang penduduk Kampung Rampayan, Manggatal, yang mendakwa kawasan penempatan mereka dilanda banjir lebih 100 kali sepanjang tahun ini sehingga menjejaskan kehidupan seharian.

Menerusi hantaran Facebook, Hanafi Sallek meluahkan kekecewaan terhadap masalah banjir berulang yang didakwanya masih belum menemui penyelesaian berkesan.

Menurutnya, kejadian banjir bukan sahaja menyebabkan penduduk menanggung kesusahan, malah turut mengganggu persekolahan kanak-kanak di kawasan berkenaan.

“Bulan 10 kali ketiga, 2026 kali ke-100 lebih banjir berlaku.

“Penduduk Kampung Rampayan, Manggatal sekali lagi dihidangkan air banjir. Inikah kita perlu cakap bencana atau mahu cakap apa?” katanya.

Hanafi mendakwa penduduk terpaksa berdepan keadaan sama berulang kali sehingga rutin harian mereka terganggu.

“Penduduk kampung merana! Penduduk kampung cuti lagi! Sekolah Kebangsaan Rampayan cuti lagi! Bacaan meter air bergerak pantas lagi!” katanya.

Hantaran itu turut memaparkan gambar kawasan kampung yang dinaiki air berlumpur, dengan sebuah kain rentang mempersoalkan keberkesanan projek tebatan banjir di kawasan Sungai Manggatal.

Kain rentang berkenaan antara lain memaparkan tulisan “Mangsa banjir yang dipinggirkan!” dan “Projek tebatan banjir Lembangan Sungai Manggatal gagal!”

Ia turut mendakwa projek sungai dan perparitan yang tidak diselenggara pihak berwajib menjadi antara punca masalah berkenaan.

Bagaimanapun, dakwaan mengenai kegagalan projek tebatan banjir serta jumlah kejadian banjir yang dinyatakan penduduk belum mendapat pengesahan rasmi pihak berkuasa.

Dalam hantaran sama, Hanafi turut menandakan beberapa pemimpin termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan, serta pemimpin politik lain bagi menarik perhatian terhadap masalah yang dihadapi penduduk.

Penduduk berharap pihak berkuasa berkaitan tampil memberikan penjelasan serta melaksanakan penyelesaian jangka panjang supaya mereka tidak terus berdepan ancaman banjir setiap kali hujan lebat.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan