Kekerapan feri Kudat-Banggi berkurang, KPDN mohon subsidi diesel diperluas

KUDAT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan (MOF) supaya subsidi diesel diperluaskan kepada pengusaha feri laluan Kudat-Pulau Banggi susulan pengurangan kekerapan perjalanan yang dikaitkan dengan peningkatan kos operasi.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, cadangan itu dibuat selepas kerajaan mengambil maklum masalah yang dihadapi penduduk Pulau Banggi apabila dua syarikat pengendali feri sedia ada mengurangkan jumlah perjalanan.

Menurutnya, KPDN bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi dan agensi berkaitan sudah mengadakan sesi libat urus dengan kedua-dua pengendali bagi mengenal pasti punca masalah berkenaan.

Hasil perbincangan mendapati pengurangan kekerapan perjalanan dikaitkan dengan peningkatan kos operasi, khususnya harga bahan api diesel.

“KPDN telah mengangkat cadangan kepada Kementerian Kewangan untuk mempertimbangkan peluasan pemberian subsidi diesel kepada pengusaha perkhidmatan feri bagi laluan Kudat-Pulau Banggi.

“Cadangan ini dibuat berdasarkan keperluan perkhidmatan feri bagi sektor ini adalah tertumpu kepada keperluan perhubungan penduduk setempat dan bukannya aktiviti pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih, Jualan Rahmah Madani dan Advokasi Kepenggunaan di Dewan Terbuka ESSCOM, Pulau Banggi, Isnin lalu.

Penduduk bergantung kepada feri

Armizan berkata, perkhidmatan feri Kudat-Pulau Banggi bukan sekadar kemudahan pengangkutan, sebaliknya menjadi penghubung utama penduduk pulau itu dengan tanah besar.

Katanya, penduduk bergantung kepada perkhidmatan berkenaan untuk menjalankan aktiviti ekonomi, mendapatkan perkhidmatan asas serta membawa masuk bekalan keperluan harian.

Justeru, pengurangan kekerapan perjalanan memberi kesan kepada keperluan perhubungan masyarakat setempat.

Beliau berkata, peluasan subsidi diesel yang dicadangkan dijangka membantu mengurangkan tekanan kos operasi pengendali, sekali gus membolehkan jumlah perjalanan ditingkatkan semula.

Bagaimanapun, cadangan itu masih tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan Kementerian Kewangan.

“Perincian mekanisme pelaksanaan akan diumumkan tertakluk kepada persetujuan dan keputusan Kementerian Kewangan,” katanya.

Setakat ini, kerajaan belum mengumumkan keputusan mengenai kelulusan subsidi berkenaan atau bila peningkatan kekerapan perjalanan feri dapat dilaksanakan.

35 siri Jualan Rahmah di Pulau Banggi

Dalam perkembangan berkaitan, Armizan berkata, KPDN turut mempergiat pelaksanaan program menangani kos sara hidup penduduk Pulau Banggi.

Menurutnya, sebanyak 35 siri Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) dilaksanakan di pulau itu bagi tempoh 1 Januari hingga 18 Oktober tahun ini, berbanding 31 siri sepanjang 2025.

Beliau berkata, Program Pengedaran Barang Perlu pula merangkumi 77 lokasi jualan atau point of sale (POS) yang melibatkan tiga zon utama.

Zon berkenaan ialah Karakit, Damaran dan pulau-pulau sekitar Pulau Banggi.

Katanya, pelaksanaan program itu bertujuan memastikan penduduk mempunyai akses kepada bekalan barangan keperluan harian.

Program berkenaan turut menyaksikan penyampaian geran tanah, sumbangan Bakul Rahmah serta bantuan wang tunai menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Berita Berkaitan