Bising sampai lewat malam, kerja ubah suai pusat beli-belah dihentikan

KOTA KINABALU: Bunyi bising akibat kerja pengubahsuaian sebuah pusat beli-belah di bandar raya ini sehingga lewat malam mengganggu ketenteraman penduduk berhampiran.

Gangguan itu menyebabkan bekas Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Tony Koh Kian Leong tampil membuat laporan polis sebelum pihak berkuasa hadir dan mengarahkan kontraktor menghentikan kerja berkenaan.

Tony Koh berkata, kontraktor sepatutnya lebih peka terhadap keselesaan penduduk, terutama apabila kerja pengubahsuaian dilakukan pada waktu malam.

Menurutnya, kerja yang menghasilkan bunyi kuat seperti memotong besi, mengetuk dan merobohkan dinding perlu dilakukan pada waktu siang.

“Kalau mahu potong besi, ambil ukuran dahulu dan lakukan kerja pemotongan di kilang. Tidak perlu buat semuanya di pusat beli-belah sehingga mengganggu penduduk.

“Kerja mengetuk atau merobohkan dinding pula sepatutnya dilakukan pada waktu siang, bukannya ketika orang ramai sedang berehat,” katanya.

Beliau berkata, kontraktor masih boleh meneruskan kerja pada waktu malam, namun perlu memilih aktiviti yang tidak menghasilkan bunyi bising keterlaluan.

“Kerja seperti mengecat atau memasang kertas dinding boleh dilakukan pada waktu malam kerana kurang mengganggu penduduk,” katanya.

Tony Koh turut meminta pihak pengurusan pusat beli-belah berkenaan memandang serius aduan penduduk dan menyusun semula jadual kerja pengubahsuaian bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Katanya, kerja menaik taraf premis tidak seharusnya dilakukan sehingga menjejaskan hak penduduk untuk berehat dengan selesa.

“Pembangunan memang penting, tetapi ketenteraman penduduk juga perlu dijaga,” katanya.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan