Remaja curi tabung masjid RM150, terbongkar empat kes lain

LABUAN: Gara-gara disyaki mencuri wang tabung masjid berjumlah kira-kira RM150, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun akhirnya diberkas polis, sekali gus membawa kepada penyelesaian empat kes jenayah lain di sekitar pulau ini.

Suspek warga tempatan itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan menerusi Op Pintu/Kesan pada 28 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintenden Wan Mohd Firdaus Wan Zaki berkata, penahanan itu dibuat susulan siasatan kes kecurian wang tabung Masjid Sirajul Islam di Kampung Tanjung Aru.

Menurutnya, polis turut merampas pemotong besi yang dipercayai digunakan suspek untuk memotong kunci mangga tabung masjid berkenaan.

“Penahanan suspek turut membawa kepada penyelesaian empat kes lain yang dilaporkan berlaku antara 26 September hingga 20 Oktober lalu di sekitar Lubok Temiang dan Rancha-Rancha.

“Empat kes berkenaan membabitkan anggaran kerugian RM3,950,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lebih mengejutkan, ujian saringan air kencing mendapati remaja terbabit positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine atau syabu.

Wan Mohd Firdaus berkata, suspek direman selama empat hari bermula 30 Oktober hingga 2 November bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan