Banglo elit jadi sarang scam, 14 warga China dicekup

KOTA KINABALU: Berselindung di sebalik kemewahan sebuah banglo tiga tingkat di kawasan elit bandar raya ini, 14 lelaki warga China dipercayai menjalankan kegiatan penipuan dalam talian sebelum kegiatan mereka terbongkar dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, malam tadi.

Semua lelaki berusia antara 26 hingga 44 tahun itu ditahan dalam Ops Serkap yang dijalankan kira-kira jam 11 malam selepas pihak berkuasa melakukan risikan selama seminggu.

JIM Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan, seramai 49 pegawai penguat kuasa terbabit dalam operasi yang menyasarkan premis berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati semua suspek dipercayai berada di negara ini menggunakan Pas Lawatan Sosial, namun 13 daripadanya dikenal pasti tinggal lebih masa.

“Seramai 13 lelaki ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala seorang lagi disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tidak memiliki pas atau permit sah,” menurut kenyataan itu.

Lebih mengejutkan, pemeriksaan di dalam banglo berkenaan menemukan puluhan telefon bimbit dan komputer riba yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan penipuan dalam talian.

Antara barangan dirampas ialah 75 telefon bimbit pelbagai jenama, 14 komputer riba berserta kelengkapan komputer serta satu set peralatan internet.

Turut dirampas wang tunai RM3,742 dan 560 yuan China, selain 13 kerusi serta enam meja.

JIM Sabah berkata, semua suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan penipuan dalam talian yang dijalankan dari banglo terbabit.

Kesemua mereka kini ditahan di Depot Imigresen Kota Kinabalu bagi siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.

JIM Sabah menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang melanggar undang-undang imigresen, termasuk menyalahgunakan pas lawatan sosial untuk menjalankan kegiatan yang menyalahi undang-undang.

Menurutnya, operasi penguatkuasaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras kegiatan warga asing yang boleh mengancam keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.

Orang ramai turut diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan kegiatan mencurigakan, khususnya membabitkan warga asing di kawasan kediaman masing-masing.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan