Liew Yun Fah rayu JANS tangguh pemotongan bekalan air di kawasan terjejas

TAWAU: Pengerusi Zon Enam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Tan Sri Liew Yun Fah merayu Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) supaya mempertimbangkan penangguhan tindakan pemotongan bekalan air terhadap pengguna di kawasan yang masih mengalami gangguan bekalan secara berterusan.

Beliau berkata, pertimbangan itu penting bagi memastikan penduduk yang berdepan masalah bekalan air bersih tidak terus dibebankan dengan tindakan pemotongan, khususnya mereka yang mempunyai tunggakan bil.

Menurutnya, gangguan bekalan air yang kerap bukan sahaja menjejaskan kehidupan seharian penduduk, malah turut memberi tekanan kewangan kepada isi rumah berpendapatan rendah.

“Sebahagian penduduk terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan untuk membeli air terawat, menyediakan tangki simpanan serta memasang pam air bagi memastikan keperluan harian keluarga dapat dipenuhi.

“Pengguna sememangnya memahami kewajipan untuk menjelaskan bil tunggakan. Namun, dalam situasi bekalan air yang masih terganggu, adalah wajar sekiranya ruang dan kelonggaran diberikan terlebih dahulu,” katanya dalam kenyataan.

Liew yang juga Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) berkata, pihak berkuasa perlu mengambil kira keadaan sebenar penduduk sebelum melaksanakan sebarang tindakan pemotongan bekalan.

Sehubungan itu, beliau memohon perhatian Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam supaya isu berkenaan dapat diteliti secara menyeluruh.

Dalam pada itu, Liew memaklumkan bahawa beliau berhasrat menghubungi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bagi memohon pertimbangan khas untuk menangguhkan tindakan pemotongan bekalan air sehingga keadaan kembali stabil.

“Janganlah sampai rakyat menanggung beban berganda,” tegasnya.

Beliau berharap JANS dan pihak berkaitan dapat mempertimbangkan pendekatan yang lebih prihatin serta mengambil kira kebajikan pengguna, terutama di kawasan yang belum menikmati bekalan air bersih secara konsisten.

Katanya, akses kepada bekalan air bersih yang stabil merupakan keperluan asas setiap keluarga dan sewajarnya diberi keutamaan.

— SABAH NEWS TODAY

Berita Berkaitan