PPNS mahu lebih ramai belia ceburi industri agromakanan Sabah
KOTA KINABALU: Golongan belia di Sabah digalakkan merebut peluang dalam industri agromakanan yang berpotensi menjadi sumber kekayaan baharu, selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS), Datuk Mohd Nazri Abdullah berkata, seruan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor supaya lebih ramai anak muda menceburi sektor pertanian, penternakan dan perikanan perlu disambut secara serius.
Menurutnya, tanggapan bahawa sektor pertanian hanya bergantung kepada kaedah tradisional perlu diubah kerana industri berkenaan kini mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai perniagaan moden dan berdaya saing.
“Persepsi bahawa pertanian hanya bergantung kepada kaedah tradisional perlu diubah. Industri ini mempunyai ruang luas untuk berkembang sebagai bidang perniagaan moden, produktif dan mampu memberikan pulangan ekonomi.
“Penglibatan golongan muda amat penting bagi memastikan sektor agromakanan mempunyai tenaga kerja baharu yang mampu membawa idea, inovasi dan pendekatan lebih segar dalam industri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai delegasi Ahli Jemaah Pengarah PPNS mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri di Menara Kinabalu, di sini, pada Selasa.
Nazri berkata, usaha menarik penyertaan belia perlu disokong melalui pendedahan kepada teknologi pertanian moden, latihan kemahiran serta peluang untuk mereka menceburi aktiviti pengeluaran dan perniagaan agromakanan.
Katanya, pembangunan industri itu juga perlu memberi penekanan kepada penghasilan produk bernilai tambah, termasuk pemprosesan dan pemasaran bagi memperluas peluang ekonomi kepada pengusaha muda.
Beliau turut menyambut baik penekanan Ketua Menteri terhadap transformasi sektor pertanian, penternakan dan perikanan daripada kaedah tradisional kepada sistem pengeluaran yang lebih moden, cekap serta berorientasikan pasaran.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan industri agromakanan Sabah terus berdaya saing dan mampu memenuhi permintaan pasaran tempatan serta pasaran lebih luas.
“PPNS menyokong hala tuju kerajaan negeri untuk memperkukuh sektor pertanian sebagai antara pemacu pertumbuhan ekonomi Sabah menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Nazri berkata, kunjungan hormat berkenaan turut bertujuan memperkenalkan barisan kepimpinan PPNS kepada Ketua Menteri.
Pada pertemuan sama, PPNS turut memohon sokongan kerajaan negeri supaya ahli peladang berusia 70 tahun yang masih memegang saham dalam Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dibenarkan bertanding dan menyandang jawatan dalam PPK atau Pertubuhan Peladang Negeri (PPN).
Katanya, cadangan itu bertujuan membolehkan golongan peladang berpengalaman terus menyumbang kepakaran dan pengalaman dalam memperkukuh kepimpinan gerakan peladang di Sabah.
— SABAH NEWS TODAY

