Lima usul belia Sabah dibawa ke peringkat nasional – Nizam
KOTA KINABALU: Lima usul membabitkan kepentingan belia Sabah, termasuk kos tambang penerbangan, peluang latihan kemahiran dan bantuan pendidikan, akan dibawa ke peringkat nasional untuk pertimbangan kerajaan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Nizam Abu Bakar Titingan, berkata usul itu mencerminkan keperluan golongan muda di seluruh negeri, khususnya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Katanya, semua usul berkenaan akan dikemukakan kepada pihak berkaitan, termasuk Ketua Menteri Sabah dan Menteri Belia dan Sukan Malaysia selaku Pengerusi Majlis Perundingan Belia Negara.
“Usul-usul ini dekat dengan kehidupan dan keperluan belia Sabah. Kita berharap setiap satu akan dipertimbangkan dengan sewajarnya dan, jika sesuai, dilaksanakan bagi memenuhi aspirasi golongan muda,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Sabah Penggal Ke-35 Sesi 2025–2026 di Shangri-La Tanjung Aru, semalam.
Antara usul yang dibentangkan ialah penyelarasan semula kadar tambang penerbangan bagi belia Sabah yang perlu melakukan perjalanan ke Semenanjung untuk menghadiri program, urusan rasmi dan aktiviti berkaitan.
Nizam berkata, kos penerbangan yang tinggi boleh membebankan golongan muda, sekali gus menyukarkan penyertaan mereka dalam program pembangunan belia.
Usul lain termasuk pembangunan hab keusahawanan digital dan agropreneur serta penyediaan kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mengikut keperluan ekonomi setiap daerah.
Menurutnya, latihan TVET perlu disesuaikan dengan potensi setempat supaya kemahiran diperoleh dapat meningkatkan kebolehpasaran dan membuka peluang menjana pendapatan.
Persidangan itu turut mengusulkan peluasan bantuan yuran peperiksaan Malaysian University English Test (MUET) serta usaha memperkukuh pendidikan, kesihatan, keselamatan diri dan pencegahan gangguan seksual dalam kalangan belia.
Nizam turut merakamkan penghargaan kepada kementeriannya, Majlis Belia Sabah dan Jabatan Belia dan Sukan Sabah atas penganjuran persidangan berkenaan.
— SABAH NEWS TODAY

