Anwar turun padang, hangatkan kempen PH menjelang PRN Melaka
MELAKA: Kehangatan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 semakin memuncak apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turun padang menyantuni rakyat bagi mempergiat kempen Pakatan Harapan (PH) menjelang hari pengundian Sabtu ini.
Anwar yang juga Pengerusi PH dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) memulakan siri jelajah mesra di kawasan rumah kedai dan gerai penjaja di Taman Krubong Jaya, di sini, kira-kira jam 6.05 petang Khamis.
Kehadiran beliau menarik perhatian peniaga, penjaja dan penduduk setempat yang mengambil kesempatan untuk bersalaman, beramah mesra serta merakam gambar bersama pemimpin negara itu.
Turut mengiringi Anwar ialah calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Datuk Azman Abidin.
Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira 30 minit menyantuni masyarakat setempat sebelum meneruskan program jelajah mesra di Kampung Machap Baru.
Beliau kemudian dijadual menghadiri program Ngopi Santai di Ayer Molek sebagai sebahagian usaha mendekati pengundi menjelang hari pengundian.
Pada sebelah malam, Anwar meneruskan kempen menerusi program Jelajah Harapan Melaka Rumah Kita di Pusat Khidmat Parlimen Hang Tuah Jaya, Bukit Baru.
Siri jelajah berkenaan dijadual berakhir dengan kehadiran beliau pada program Pesta Melaka Rumah Kita di Taman Melaka Perdana, Alor Gajah.
PH pertaruh calon paling ramai
Dalam PRN kali ini, PH mempertaruhkan calon paling ramai dengan bertanding di 24 kerusi DUN, diikuti Barisan Nasional (BN) sebanyak 23 kerusi.
Parti Bersama Malaysia (Bersama) pula meletakkan calon di 16 kerusi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tujuh kerusi, Perikatan Nasional (PN) lima kerusi dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) satu kerusi.
Tiga calon Bebas turut menawarkan diri untuk bertanding dalam pilihan raya berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu, 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka ke-16, dengan seramai 687,697 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Kempen yang memasuki hari ke-13 pada Khamis menyaksikan parti dan calon bertanding mempergiat usaha mendekati pengundi dalam tempoh terakhir sebelum proses pengundian berlangsung.
— SABAH NEWS TODAY

