Jangan jadikan UiTM Tawau sekadar bangunan kosong – Nizam

TAWAU: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Tawau mesti dikekalkan sebagai institusi pengajian tinggi yang berfungsi sepenuhnya dan bukannya sekadar bangunan yang digunakan untuk menempatkan institusi pendidikan lain.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menegaskan, masa depan pendidikan anak-anak Sabah khususnya di Pantai Timur negeri ini tidak boleh dikompromi hanya kerana cadangan rasionalisasi operasi kampus berkenaan.

Katanya, walaupun Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memberi jaminan UiTM Tawau tidak akan ditutup, cadangan menjadikan kemudahannya sebagai hab pendidikan melibatkan institusi lain masih menimbulkan persoalan.

“Jangan hanya melihat kepada bangunan semata-mata. Apa yang lebih penting ialah identiti UiTM, fungsi akademik, peluang pengajian dan peranannya kepada masyarakat setempat mesti dipertahankan.

“Pendirian saya jelas, UiTM Tawau mesti dikekalkan sebagai sebuah kampus UiTM yang berfungsi sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nizam berkata, UiTM Tawau yang beroperasi sejak 1996 bukan sekadar institusi pendidikan, sebaliknya hasil perjuangan pemimpin terdahulu bagi memastikan anak-anak Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu dan kawasan sekitar mendapat peluang melanjutkan pengajian tinggi.

Menurutnya, kewujudan kampus itu amat penting terutama kepada keluarga kurang berkemampuan yang tidak mampu menanggung kos tinggi sekiranya anak mereka terpaksa melanjutkan pengajian di luar daerah atau negeri.

Mengulas jumlah 254 pelajar setakat 30 September lalu seperti dibangkitkan Zambry di Dewan Rakyat, beliau berkata angka itu tidak sepatutnya menjadi ukuran tunggal dalam menentukan masa depan kampus berkenaan.

“Penilaian perlu mengambil kira kapasiti sebenar bilik kuliah, kemudahan akademik dan keupayaan kampus menampung pelajar, bukan hanya berdasarkan jumlah penginapan yang disediakan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberikan penjelasan terperinci mengenai asas cadangan rasionalisasi serta jaminan bahawa UiTM Tawau tidak akan kehilangan identiti dan fungsi akademiknya.

Nizam turut mencadangkan supaya program pengajian di kampus berkenaan diperluaskan mengikut keperluan industri, peluang pekerjaan dan pembangunan ekonomi Pantai Timur Sabah.

“Kalau mahu wujudkan institusi pendidikan baharu, jadikan ia pelengkap kepada UiTM Tawau, bukannya menggantikan institusi yang sudah lama berjasa kepada masyarakat.

“UiTM Tawau mesti dikekalkan, diperkukuh dan terus memainkan peranan penting dalam pembangunan pendidikan tinggi di Pantai Timur Sabah,” tegasnya.

Berita Berkaitan