Jalan parkir Hospital Queen Elizabeth rosak, pengguna gesa tindakan segera

KOTA KINABALU: Keadaan jalan di kawasan parkir awam Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini yang mengalami kerosakan dan dipenuhi lubang menimbulkan keluhan pengguna yang berharap kerja pembaikan dapat dilaksanakan segera.

Isu berkenaan dibangkitkan seorang pengguna media sosial menerusi akaun Threads, rezal_mj, yang berkongsi gambar memperlihatkan keadaan permukaan jalan di kawasan parkir hospital tersebut pada Jumaat.

Menurut pengguna terbabit, keadaan jalan di kawasan berkenaan semakin teruk apabila terdapat banyak lubang yang boleh menjejaskan keselesaan orang awam.

ā€œFriday the 13 hari ini, beginilah keadaan parking awam di kawasan Hospital Queen Elizabeth. Semakin teruk banyak lubang-lubang ini.

ā€œHarap 2027 berubah lah ni tempat harap tiada lubang-lubang sudah,ā€ katanya menerusi hantaran berkenaan.

Berdasarkan gambar yang dimuat naik, permukaan jalan di kawasan parkir itu kelihatan tidak rata dengan beberapa bahagian mengalami kerosakan, termasuk lubang yang dipenuhi air.

Keadaan tersebut menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan dan keselesaan pengguna, khususnya pesakit serta ahli keluarga yang berulang-alik ke hospital berkenaan.

Sehubungan itu, pengguna berharap pihak berkaitan dapat memberikan perhatian serius terhadap keadaan kemudahan parkir tersebut dengan melaksanakan kerja penyelenggaraan dan pembaikan yang sewajarnya.

Langkah itu penting bagi memastikan kemudahan awam berkenaan berada dalam keadaan baik, selamat dan selesa untuk digunakan oleh pengunjung hospital.

Setakat ini, belum dapat dipastikan pihak yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan kawasan parkir berkenaan atau sama ada kerja pembaikan telah dirancang.

Berita Berkaitan