KGKS sokong BKK penjawat awam Persekutuan dimasukkan dalam Bajet Sabah 2027

KOTA KINABALU: Kesatuan Guru-Guru Kerajaan Sabah (KGKS) menyokong gesaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Sabah supaya kerajaan negeri mempertimbangkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) kepada penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Sabah menerusi Belanjawan Negeri 2027.

Presiden KGKS, Murkam Hussien berkata, kebajikan penjawat awam Persekutuan wajar diberikan perhatian sewajarnya memandangkan golongan itu turut memainkan peranan penting dalam pembangunan dan kesejahteraan rakyat negeri ini.

Menurutnya, meskipun penjawat awam terbabit berada di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan, sumbangan mereka tidak boleh dipisahkan daripada usaha memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam di Sabah.

“Walaupun mereka berada di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan, sumbangan dan khidmat bakti mereka merupakan sebahagian daripada kekuatan jentera perkhidmatan awam yang menyokong pembangunan serta kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan.

Murkam berkata, dalam sektor pendidikan khususnya, guru-guru Persekutuan memainkan peranan besar dalam membangunkan modal insan, mendidik generasi masa depan serta memastikan akses pendidikan dapat dinikmati semua lapisan masyarakat, termasuk penduduk di kawasan pedalaman.

Jelasnya, pemberian BKK bukan sekadar bantuan kewangan, sebaliknya mencerminkan penghargaan dan pengiktirafan kerajaan negeri terhadap komitmen penjawat awam Persekutuan yang turut menyumbang kepada kemajuan Sabah.

“KGKS ingin menegaskan bahawa kebajikan penjawat awam tidak seharusnya dilihat berdasarkan perbezaan skim perkhidmatan atau pihak yang membayar gaji semata-mata.

“Sebaliknya, ia perlu mengambil kira sumbangan mereka kepada masyarakat dan negeri tempat mereka berkhidmat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kepimpinan Kerajaan Negeri Sabah serta pihak yang bertanggungjawab merangka Belanjawan Negeri 2027 supaya memberikan pertimbangan serius terhadap cadangan berkenaan, termasuk menyediakan peruntukan sewajarnya.

“Khidmat bakti kami untuk Sabah. Kebajikan kami juga wajar diberikan perhatian.

“KGKS percaya bahawa penghargaan terhadap penjawat awam merupakan pelaburan terhadap kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri,” katanya.

Sebagai perbandingan, Murkam merujuk langkah Kerajaan Sarawak yang sebelum ini mengumumkan pemberian BKK sebanyak RM700 kepada penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di negeri berkenaan.

Cadangan pemberian BKK di Sabah itu bagaimanapun masih memerlukan pertimbangan dan keputusan kerajaan negeri menerusi penyediaan Belanjawan Negeri 2027.

Berita Berkaitan