Pertandingan ratu pondan diserbu, 12 ditahan
SEMPORNA: Pertandingan ratu pondan yang diadakan di Kampung Hidayat 2, Pulau Bum-Bum, di sini, diserbu pihak berkuasa menerusi operasi bersepadu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bersama polis.
Dalam serbuan itu, seramai 12 individu yang berpakaian menyerupai wanita ditahan untuk tindakan lanjut.
Operasi berkenaan diketuai Pegawai JHEAINS, Mohd Juseph Ahmad Kapala bersama lima pegawai jabatan itu dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dan Bit Polis Bum-Bum.
Turut menyertai operasi ialah dua pegawai polis berpangkat Inspektor dan sembilan anggota berpangkat Lans Koperal.
Ketika serbuan dijalankan, pihak berkuasa turut merampas beberapa barangan dipercayai digunakan dalam pertandingan berkenaan.
Antara barangan dirampas ialah piala, sijil, hamper serta beberapa barangan lain yang berkaitan dengan penganjuran acara itu.
Operasi bersepadu berkenaan dilaksanakan menerusi kerjasama JHEAINS dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menguatkuasakan undang-undang berkaitan.
Bagaimanapun, maklumat mengenai tarikh dan masa serbuan, peruntukan undang-undang yang digunakan serta status siasatan terhadap semua individu ditahan belum diperincikan.

