Dua beradik ditemukan rentung dalam kebakaran rumah di Tawau

TAWAU: Dua beradik, termasuk seorang kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) autisme, ditemukan rentung selepas rumah didiami mereka terbakar di Taman Ria, Lorong 11, di sini, awal pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.13 pagi itu, mangsa merupakan kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dan abangnya berumur 13 tahun yang dipercayai terperangkap di tingkat atas rumah berkenaan.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 sebelum menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau.

Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi pada pukul 6.22 pagi dan mendapati sebuah rumah teres dua tingkat jenis kekal berkeluasan 20 x 30 kaki sedang terbakar.

“Kebakaran menyebabkan kemusnahan dianggarkan sebanyak 70 peratus.

“Seramai enam mangsa terlibat dalam kejadian itu, namun empat daripada mereka berjaya menyelamatkan diri sebelum ketibaan anggota bomba, manakala dua lagi masih terperangkap di dalam rumah,” menurut kenyataan itu.

JBPM Sabah memaklumkan, usaha mencari dan menyelamat kedua-dua mangsa segera dilaksanakan serentak dengan operasi pemadaman kebakaran.

Bagaimanapun, pada pukul 6.43 pagi, kedua-dua mangsa ditemukan dalam keadaan rentung di sebuah bilik di tingkat atas rumah berkenaan.

Mayat kedua-dua beradik itu kemudiannya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

Menurut kenyataan itu, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran dan tiga pancutan sepanjang 200 kaki dengan sumber air daripada tangki jentera serta pili bomba berhampiran.

“Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 7.07 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 9.06 pagi selepas pemeriksaan mendapati tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya.

Operasi diketuai Komander Operasi, PBK I Ahmad Pramuja Zainadun bersama Komander Operasi Kanan, TPgB II Jemishin Ujin.

Seramai 20 anggota bomba dengan kekuatan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS), sebuah lori tangki air dan dua kenderaan pacuan empat roda digerakkan dalam operasi berkenaan.

Operasi turut mendapat bantuan lapan anggota PDRM dan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Setakat laporan awal dikeluarkan, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih belum dimaklumkan.

Berita Berkaitan