PH Sabah mahu baki RM900 juta dibayar sebelum sidang DUN
KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah mahu kerajaan Persekutuan menyelesaikan pembayaran interim berjumlah RM1.5 bilion berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengerusi PH Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, daripada jumlah berkenaan, RM600 juta sudah dibayar, manakala baki RM900 juta masih dalam proses pewartaan.
Menurutnya, penyelesaian pembayaran itu antara keputusan penting yang dicapai dalam mesyuarat PH Sabah yang dipengerusikannya di Kota Kinabalu.
“Kita mahu supaya pembayaran interim berkaitan 40 peratus hasil Persekutuan di Sabah yang telah ditingkatkan kepada RM1.5 bilion diselesaikan sebelum sidang Dewan Undangan Negeri.
“Sebanyak RM600 juta sudah dibayar, tetapi sekarang RM900 juta lagi sedang dalam proses pewartaan. Jadi jumlah keseluruhannya ialah RM1.5 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PH Sabah, di sini.
Mustapha menjelaskan, PH Sabah mahu urusan berkaitan baki pembayaran itu disegerakan supaya jumlah pemberian interim yang ditetapkan dapat diselesaikan sebelum persidangan DUN berlangsung.
Katanya, perkara itu merupakan antara keutamaan yang dibincangkan PH Sabah berhubung pelaksanaan pemberian khas berkaitan tuntutan 40 peratus hasil negeri.
Tuntutan berkenaan terus menjadi antara perkara utama yang diberikan perhatian PH Sabah dalam usaha memastikan mekanisme pembayaran kepada negeri dilaksanakan mengikut jumlah yang telah ditetapkan.

