Projek kabel kuasa Sabah-Mindanao: Yong mahu kerajaan negeri beri penjelasan
KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee mempersoalkan cadangan pembinaan kabel kuasa dasar laut antara Sabah dan Mindanao, Filipina, sambil menggesa kerajaan negeri menjelaskan implikasi projek itu terhadap bekalan tenaga dan kepentingan Sabah.
Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) itu berkata, pengumuman Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr pada 17 November lalu mengenai projek berkenaan memerlukan penjelasan daripada kerajaan Sabah, khususnya Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).
Menurutnya, projek itu membabitkan pembinaan kabel dasar laut pertama bagi perkongsian tenaga antara Sabah dan Mindanao, sekali gus memperluaskan cadangan sambungan tenaga daripada laluan darat kepada laluan laut.
“Saya tidak ingat bahawa perkongsian tenaga dengan Filipina melalui kabel dasar laut ini pernah dimasukkan dalam Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040.
“Oleh itu, penjelasan lanjut mengenai perkara ini amat diperlukan,” katanya dalam kenyataan.
Yong turut mempersoalkan sumber tenaga yang akan disalurkan menerusi projek berkenaan serta sama ada ia berkaitan dengan perancangan tenaga di Wilayah Autonomi Bangsamoro Mindanao Muslim (BARMM).
Beliau berkata, kerajaan negeri juga perlu menjelaskan kesan projek itu terhadap sektor tenaga Sabah, termasuk peluang penyertaan syarikat tempatan dalam pembinaan dan pelaksanaannya.
Menurutnya, projek infrastruktur berskala besar itu dikaitkan dengan nilai pelaburan yang boleh mencecah ratusan bilion ringgit, sekali gus memerlukan penelitian terhadap implikasi strategiknya.
“Sehingga kini, belum ada sebarang maklum balas daripada mana-mana pegawai kerajaan Persekutuan berhubung projek infrastruktur mega antarabangsa yang mempunyai implikasi strategik ini.
“Sudah semestinya kerajaan Sabah, khususnya ECoS, perlu terbabit sepenuhnya dalam perancangan dan pelaksanaan projek tenaga ini,” katanya.
Yong berkata, penjelasan pihak berkuasa penting bagi memastikan semua pihak berkepentingan memahami hala tuju kerjasama tenaga rentas sempadan itu, terutama dari segi sumber bekalan, perancangan jangka panjang dan manfaat kepada Sabah.
Media antarabangsa sebelum ini dilaporkan memetik Marcos sebagai berkata kabel kuasa dasar laut berkenaan akan dipasang tidak lama lagi, selaras dengan Memorandum Persefahaman (MoU) ASEAN mengenai Grid Kuasa ASEAN.

