Suspek samun bersenjata dicekup, pisau 27 sentimeter dirampas

SANDAKAN: Seorang lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam kes samun berkumpulan menggunakan senjata tajam dicekup polis dalam serbuan di kawasan setinggan belakang Bandar Letat Jaya, Batu 3, Jalan Lintas Utara, di sini, awal pagi tadi.

Suspek ditahan kira-kira jam 3 pagi menerusi Op Sentap yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, pemeriksaan terhadap suspek turut menemukan sebilah pisau sepanjang 27 sentimeter yang mempunyai sarung berwarna merah.

Menurutnya, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan disyaki terbabit dalam kes samun berkumpulan menggunakan senjata tajam yang dilaporkan pada 1 Jun lalu.

“Kes berkenaan membabitkan kerugian dianggarkan RM1,300.

“Hasil soal siasat awal turut mendapati suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa kes jenayah lain di sekitar daerah Sandakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

George berkata, semakan mendapati suspek turut mempunyai satu rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan berkaitan samun berkumpulan menggunakan senjata.

Beliau berkata, kejayaan tangkapan itu membuktikan kesungguhan polis membanteras kegiatan jenayah yang mengancam keselamatan masyarakat.

“PDRM akan terus mempergiatkan usaha membanteras jenayah demi memastikan keselamatan dan ketenteraman masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya.

Berita Berkaitan