Jeffrey gesa Sabah tolak bayaran interim 40 peratus selama lima tahun

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah digesa menolak cadangan pembayaran interim secara berperingkat selama lima tahun bagi tuntutan 40 peratus hasil bersih negeri itu kerana dikhuatiri terus melengahkan pelaksanaan hak berkenaan.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan berkata, pembayaran interim RM1.5 bilion yang dipersetujui sebelum ini sepatutnya hanya terpakai bagi 2026, sementara kerajaan Persekutuan dan Sabah memuktamadkan mekanisme pembayaran penuh.

Katanya, cadangan meningkatkan bayaran interim secara berperingkat setiap tahun untuk tempoh lima tahun menimbulkan persoalan sama ada aturan itu akhirnya menggantikan pelaksanaan hak sebenar Sabah.

“Jika aturan itu sudah diputuskan, menerimanya bermakna kita membenarkan bayaran interim mengambil tempat hak 40 peratus Sabah untuk tempoh lima tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jeffrey berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu sebelum ini mendapati semakan sewajarnya tidak dilaksanakan sejak 1974.

Menurutnya, pembayaran interim, walaupun diwartakan, tidak sepatutnya dianggap sebagai penyelesaian kepada tuntutan Geran Khas 40 peratus yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri menolak cadangan pembayaran interim bagi tahun berikutnya dan memastikan sebarang aturan pembayaran tidak menjejaskan kedudukan undang-undang berhubung hak Sabah.

Beliau turut meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, memastikan rundingan tuntutan 40 peratus itu diselesaikan serta dimuktamadkan secepat mungkin.

Jeffrey juga mencadangkan kerajaan Persekutuan menjadikan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sebagai sasaran untuk melunaskan sepenuhnya hak berkenaan sebelum hari pengundian.

Katanya, penyelesaian itu dapat membantu memulihkan keyakinan rakyat terhadap komitmen kerajaan Persekutuan dalam menangani tuntutan Sabah yang berlarutan sejak beberapa dekad lalu.

“Kerajaan Sabah pula perlu bertegas mempertahankan hak negeri dan menamatkan kesusahan yang terpaksa ditanggung rakyat terlalu lama,” katanya.

Jeffrey menegaskan bahawa pembayaran interim tidak boleh dijadikan pengganti kepada penyelesaian muktamad tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah.

Berita Berkaitan