ECoS, IIM jalin kerjasama perkukuh integriti sektor tenaga Sabah
KOTA KINABALU ā Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh integriti dan tadbir urus dalam sektor kawal selia tenaga di negeri ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, kerjasama tersebut selaras dengan aspirasi kerajaan negeri untuk meningkatkan integriti tadbir urus dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Strategi Antirasuah Organisasi (OACS) ECoS 2026ā2030 dan pertukaran MoU antara kedua-dua agensi di Menara Kinabalu, pada Selasa.
Menerusi kerjasama itu, ECoS dan IIM akan berkongsi kepakaran dalam aspek pengoperasian, pencegahan serta pendidikan bagi merealisasikan aspirasi kerajaan selaras dengan undang-undang dan peraturan ditetapkan.
Selain itu, pegawai ECoS turut berpeluang mengikuti pelbagai program latihan anjuran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), termasuk program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, kerjasama berkenaan memberi tumpuan kepada aspek penguatkuasaan, pembangunan kapasiti, latihan, kesedaran antirasuah dan pengurusan risiko rasuah.
Menurutnya, inisiatif tersebut turut memperkukuh mekanisme pencegahan rasuah dalam pelaksanaan fungsi kawal selia ECoS bagi memastikan sektor tenaga Sabah ditadbir secara telus dan berintegriti.
Pada majlis berkenaan, Hajiji bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman turut menyaksikan pertukaran MoU antara Abdul Nasser dengan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Datuk Seri Noridah Abdul Rahim.

