Abdul Fuad terajui ESSCOM, Hajiji saksi serah tugas
KOTA KINABALU: Timbalan Komisioner Polis (DCP) Datuk Abdul Fuad Abdul Malek kini menerajui Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) selepas mengambil alih jawatan komandernya daripada Komisioner Polis (CP) Datuk Victor Sanjos, hari ini.
Majlis serah terima tugas yang berlangsung di Menara Kinabalu itu disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Victor yang sebelum ini mengetuai ESSCOM dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah pada 11 November lalu, menggantikan Datuk Jauteh Dikun yang bersara wajib.
Pelantikan itu menyaksikan Abdul Fuad yang sebelum ini menjawat jawatan Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, mengambil alih kepimpinan ESSCOM.
Terdahulu, Hajiji turut menyaksikan acara pemakaian pangkat DCP kepada Abdul Fuad yang disempurnakan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, CP Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.
Pertukaran jawatan itu menandakan peralihan kepimpinan ESSCOM susulan pelantikan Victor sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu.
Sementara itu, dalam acara berasingan, Hajiji turut menerima kunjungan hormat Panglima Armada Timur, Markas Pemerintahan Armada Timur (MPA Timur), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Madya Datuk Ahmad Shafirudin Abu Bakar.
Ahmad Shafirudin yang merupakan Panglima Armada Timur ketujuh mengambil alih kepimpinan MPA Timur secara rasmi pada 20 Oktober lalu.
Beliau menggantikan Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris yang sebelum ini menerajui pemerintahan Armada Timur TLDM.

