Sabah lulus Akta 371, dapat kerusi tetap Lembaga Farmasi Malaysia

KOTA KINABALU: Kabinet Sabah meluluskan penerimaan pakai Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951 (Akta 371), sekali gus membolehkan negeri itu mempunyai satu kerusi tetap dalam Lembaga Farmasi Malaysia (LFM).

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Julita Majungki berkata, keputusan itu diluluskan Jemaah Menteri Negeri pada Rabu bagi memperkukuh kawal selia profesion farmasi di Sabah.

Katanya, kerusi tetap berkenaan akan memastikan suara dan kepentingan Sabah diambil kira dalam keputusan berkaitan pembangunan serta kawal selia profesion farmasi di peringkat kebangsaan.

ā€œWakil Sabah akan dicadangkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan tertakluk kepada kelulusan kerajaan negeri,ā€ katanya dalam kenyataan hari ini.

Julita berkata, peluasan Akta 371 ke Sabah membolehkan pengiktirafan kelayakan dan pendaftaran ahli farmasi serta perbadanan berkaitan farmasi dilaksanakan mengikut kerangka kawal selia kebangsaan.

Menurutnya, akta itu turut merangkumi tindakan tatatertib terhadap salah laku profesional selain mengawal penggunaan gelaran ā€œahli farmasiā€ dan istilah ā€œfarmasiā€ bagi mengelakkan penyalahgunaan.

Katanya, institusi pengajian tinggi di Sabah yang bercadang menawarkan program Ijazah Sarjana Muda Farmasi dan Diploma Farmasi juga boleh memohon pengiktirafan LFM.

Premis latihan bagi Ahli Farmasi Berdaftar Secara Bersyarat (PRP) turut berpeluang mendapat pengiktirafan rasmi.

ā€œPenerimaan pakai Akta 371 ini amat bertepatan pada masanya ketika Sabah terus memperkukuh sistem kesihatan negeri.

ā€œAkta ini akan memastikan ahli farmasi yang beramal di Sabah memenuhi standard profesional yang diiktiraf, sekali gus memperkukuh perlindungan kepentingan awam dan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan farmasi,ā€ katanya.

Julita berkata, akta berkenaan mula berkuat kuasa di Semenanjung Malaysia pada 1952 sebelum diperluaskan ke Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pada 2009.

Penerimaan pakainya di Sabah akan membolehkan negeri itu berada dalam kerangka kawal selia profesion farmasi yang sama dengan wilayah lain di Malaysia.

Berita Berkaitan