ADUN Pitas bersama isteri, anak peluk Islam
PITAS: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Datuk Seri Ruddy Awah bersama isteri dan anaknya secara rasmi memeluk Islam selepas melafazkan dua kalimah syahadah di kediaman mereka di Kampung Salimpodon Laut, di sini, Ahad.
Lafaz syahadah itu dibimbing Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar dan disaksikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Exco Agama Islam negeri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman.
Ruddy bersama isterinya, Datin Seri Asiah Udin dan anak mereka, Aswady terlebih dahulu melafazkan dua kalimah syahadah secara bersama-sama sebelum mengulanginya secara bergilir-gilir.
Mereka turut membaca pengertian lafaz berkenaan dalam bahasa Melayu.
Majlis kemudian diteruskan dengan laungan azan, bacaan ayat suci al-Quran, selawat dan kenduri kesyukuran.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta barisan menteri dan pembantu Kabinet negeri.
Menurut laporan Sinar Harian, Ruddy yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah sudah lebih 10 tahun mendekati dan mendalami Islam sebelum mengambil keputusan memeluk agama itu atas keikhlasan hati tanpa sebarang paksaan.

