Tambang penerbangan Sabah, Sarawak dibawa ke Kabinet
KOTA KINABALU: Isu kenaikan harga tiket penerbangan yang membebankan rakyat Sabah dan Sarawak kini dibawa ke peringkat Kabinet bagi mencari penyelesaian lebih berkesan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, perkara itu sudah dibangkitkannya dalam mesyuarat Kabinet minggu lalu selepas menerima pelbagai aduan berhubung kenaikan tambang penerbangan.
Menurutnya, Jabatan Perdana Menteri akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi mengenal pasti kaedah terbaik menangani isu berkenaan.
“Memang kita menerima aduan daripada pelbagai pihak mengenai kenaikan harga tambang penerbangan.
“Kita akan meneliti aduan ini supaya kita dapat mencari kaedah bersama-sama syarikat penerbangan untuk mengurangkannya,” katanya.
Mustapha berkata, antara faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada kenaikan tambang ialah peningkatan kos operasi syarikat penerbangan susulan krisis bekalan tenaga global.
Bagaimanapun, katanya, keadaan itu tidak boleh dibiarkan terus membebankan rakyat Sabah dan Sarawak yang bergantung kepada pengangkutan udara.
Beliau berkata, kerajaan turut memberi perhatian khusus kepada pelajar yang bakal mendaftar di institusi pengajian tinggi dan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pada September ini.
Katanya, kerjasama akan dilakukan bersama Kementerian Pendidikan Tinggi bagi mengenal pasti pelajar yang benar-benar memerlukan penerbangan untuk menyambung pengajian.
“Mana-mana yang ada kaitan dengan penerbangan, kita minta senarainya dan kita lihat supaya dibentangkan di Kabinet agar kerajaan dapat membuat keputusan untuk mempermudah urusan mereka,” katanya.
Senarai pelajar berkenaan akan dibawa ke Kabinet untuk penelitian sebelum kerajaan menentukan langkah bersesuaian bagi membantu mengurangkan beban perjalanan mereka.

