Shafie: Beri ruang anak Labuan bangunkan ekonomi sendiri
LABUAN: Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal mahu lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan diwujudkan untuk anak tempatan bagi menggerakkan semula ekonomi Labuan.
Beliau berkata Labuan mempunyai potensi besar sebagai pusat kewangan pesisir antarabangsa serta hab minyak dan gas, namun ruang membangunkan pulau itu perlu turut diberikan kepada anak jati tempatan.
“Apa yang diperlukan masyarakat di sini bukan setakat peluang perniagaan, tetapi juga peluang pekerjaan yang boleh dimanfaatkan, selain kemudahan yang mampu menjadi tarikan dalam sektor pelancongan dan kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Warisan Bahagian Labuan di Dewan Tadika Chi Hwa.
Menurut Shafie, pembangunan Labuan perlu memberi manfaat secara langsung kepada penduduk tempatan, khususnya golongan belia yang berdepan cabaran peluang pekerjaan.
Pada mesyuarat itu, Datuk Rozman Datuk Isli menang tanpa bertanding jawatan Ketua Bahagian Labuan bagi penggal 2026/2029.
Lebih 700 hadir termasuk pemimpin masyarakat, ketua kampung dan ahli Warisan.
Terdahulu, Shafie turut mengunjungi pasar UTC dan beberapa kedai kopi untuk beramah mesra dengan penduduk Labuan.

