Agong perkenan pengampunan bersyarat, Najib jalani baki hukuman di rumah hingga 2028
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan memberikan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dengan baki hukumannya dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Pengampunan bersyarat itu tertakluk kepada Najib membayar denda RM50 juta.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri memaklumkan keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang berlangsung di Istana Negara hari ini.
Menurut BHEUU, Najib perlu mematuhi semua syarat yang ditetapkan sepanjang menjalani tahanan di rumah.
Sekiranya mana-mana syarat berkenaan tidak dipatuhi, pengampunan bersyarat itu akan terbatal dan beliau perlu serta-merta meneruskan baki hukumannya di penjara.
Najib, 73, telah menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022. Pada Januari 2024, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

