Bas Pink KK cecah 300,000 penumpang, RM3.7 juta naik taraf hentian
KOTA KINABALU: Jumlah penumpang perkhidmatan Bas Pink atau BAS.MY Kota Kinabalu kini mencecah kira-kira 300,000 orang, meningkat daripada 200,000 pada awal Ogos.
Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe berkata demikian menerusi kenyataan media di laman Threads selepas pertemuan bersama Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick.
Menurut Phoong, pertemuan bersama LPKP Sabah itu membincangkan usaha memperkukuh ekosistem Bas Pink, termasuk perkara yang memerlukan kerjasama kerajaan negeri.
Antara agenda dibincangkan ialah mempercepat dan menambah baik hentian bas, meningkatkan kemudahan pejalan kaki serta mengoptimumkan laluan dan perkhidmatan.
Phoong berkata, beliau turut dimaklumkan bahawa Kabinet Sabah telah meluluskan RM3.7 juta untuk menaik taraf hentian bas termasuk penyediaan lampu solar dan papan tanda.
Dalam kenyataan sama, beliau berkata jumlah penumpang meningkat daripada kira-kira 200,000 pada awal Ogos kepada 300,000 ketika ini dan menyifatkan sambutan masyarakat sebagai menggalakkan.
Sebagai perbandingan, sebanyak 194,265 penumpang direkodkan menggunakan dua laluan awal BAS.MY setakat 10 Ogos, sebelum kesemua lapan laluan perkhidmatan itu beroperasi sepenuhnya mulai 11 Ogos.
Phoong berkata kerjasama antara LPKP Sabah dan kerajaan negeri akan diteruskan bagi memastikan perkhidmatan Bas Pink dapat diperkasakan sekali gus memudahkan mobiliti penduduk Kota Kinabalu.

